Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Februari. - Bulan Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan di mana umat Islam digalakkan meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Antara amalan yang sangat dititikberatkan semasa bulan Ramadan ialah tadarus Al-Quran iaitu aktiviti membaca, mengkaji dan memahami Al-Quran secara berkumpulan atau bersendirian.
Perkataan tadarus berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud belajar atau mengulang kaji bersama.
Dari segi amalan pula, tadarus merujuk kepada usaha membaca Al-Quran dengan penuh penghayatan, menyemak tajwid, dan memahami tafsir ayat-ayat suci.
Aktiviti ini bukan sahaja menguatkan hubungan dengan Al-Quran tetapi turut meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap tuntutan syariat.
Bulan Ramadan mempunyai kedudukan istimewa kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk buat manusia sepertimana firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud, "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah". (Surah Al-Baqarah, Ayat 185).
Membaca Al-Quran pada bulan Ramadan bukan sahaja mendatangkan pahala yang berlipat ganda, malahan juga memberi peluang kepada umat Islam memperdalam penghayatan terhadap kandungan Al-Quran, seterusnya meningkatkan mutu ibadah harian.
Walaupun tadarus lazimnya dijalankan di masjid atau surau, ia juga boleh dilaksanakan di rumah terutama bagi mereka yang menghadapi kekangan masa atau tinggal jauh daripada masjid.
Ini membolehkan ahli-ahli keluarga membaca Al-Quran bersama-sama dan bergilir-gilir membaca ayat-ayat suci.
Selain itu, dengan kemajuan teknologi, tadarus juga boleh dijalankan secara dalam talian melalui kelas atau kumpulan tadarus secara maya.
Ini memberikan fleksibiliti dan membolehkan umat Islam mengekalkan amalan ibadah walaupun tidak dapat hadir ke masjid.
Sama ada dilakukan di masjid atau di rumah, amalan tersebut harus diteruskan agar bulan Ramadan benar-benar menjadi bulan pembelajaran dan penghayatan terhadap Al-Quran.